Aisyah dikenali dengan panggilan Ummul Mukminin, yang bererti ibu bagi seluruh orang Mukmin. Selain itu beliau juga digelar Ummu Abdillah iaitu ibu saudara Abdullah. Ada kisah yang menyebut nama timangannya adalah Humaira, yang bererti kemerah-merahan. Namun tiada bukti yang sahih menjelaskan perkara tersebut.
Nabi Muhammad s.a.w pula lebih gemar memanggilnya dengan panggilan Bintus Siddiq bererti anak gadis lelaki yang berkata benar. Lelaki yang berkata benar itu merujuk kepada Abu Bakar As-Siddiq. Nama sebenar beliau ialah Aisyah binti Abu Bakar As-Siddiq bin Abu Quhafah bin Amir bin Umar.
Terdapat beberapa peristiwa yang dijadikan panduan dalam mencari tahun kelahiran Aisyah. Aisyah r.a dilahirkan dalam bulan Syawal tahun kesembilan sebelum Hijrah iaitu penghujung tahun kelima selepas Nabi Muhammad s.a.w menjadi rasul. Aisyah lahir empat atau lima tahun selepas Nabi Muhammad s.a.w menjadi rasul.
Tanda-tanda kecerdasan Aisyah jelas kelihatan semenjak kecil lagi. Ia dapat dilihar dari tutur bahasa serta tingkahlakunya. Sejak kecil lagi beliau sudah mula menampakkan sifat-sifat yang terpuji serta kepintaran akal.
Seperti kanak-kanak yang lain, beliau juga gemar bermain bersama-sama rakan-rakannya yang datang ke rumahnya. Tetapi beliau amat menjaga perlakuannya terutama apabila Nabi Muhammad s.a.w mengunjunginya, beliau akan segera mengemas barang mainannya. Dalam masa yang sama kawan-kawannya juga akan menghilang. Namun sifat terpuji Nabi Muhammad s.a.w yang sayangkan kanak-kanak, memanggil dan menyuruh mereka bermain kembali.
Aisyah menunjukkan kecerdikan serta pengetahuannya berkenaan agama walaupun beliau masih muda. Jika kanak-kanak sebayanya sudah tentu tidak menghiraukan keadaan sekeliling mereka. Tetapi Aisyah bukanlah kanak-kanak biasa, beliau mempunyai daya ingatan yang tajam dan kuat serta peka.
Keistimewaan Aisyah r.a ialah beliau dapat mengingati hadis-hadis yang pernah disebut Nabi Muhammad s.a.w dan memahami setiap darinya serta mampu menerangkan perbuatan atau perkataan beliau dengan terperinci. Aisyah r.a juga mampu menjelaskan rahsia di sebalik peristiwa yang dialaminya semasa beliau masih kecil. Lebih menakjubkan, Aisyah r.a mampu menghafal ayat Quran walaupun beliau hanya mendengar bacaan itu sepintas lalu iaitu ketika beliau sedang bermain.
Semasa Nabi Muhammad s.a.w berhijrah ke Madinah, Aisyah r.a baru berusia lapan tahun. Walaupun demikian, beliau dapat mengingati serta memahami semua rahsia hijrah itu secara terperinci. Kata-kata Aisyah r.a berkenaan peristiwa hijrah ada tertulis di dalam buku Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.
Betapa hebatnya kuasa Maha Pencipta yang mencipta makhluk manusia bernama Aisyah r.a yang penuh dengan kelebihan yang patut dicontohi oleh wanita-wanita Islam. Sejak dari kecil lagi beliau telah menunjukkan kemuliaannya. Semoga kisah Ummul Mukminin ini dapat dicontohi oleh wanita-wanita Islam di luar sana.Semoga dengan sedikit mukadimah mengenai Aisyah r.a ini mampu memberikan kita semangat untuk lebih mengenali ibu bagi seluruh orang mukmin.
Wallahualam. Yang baik itu datangnya dari Allah s.w.t dan ilmunya, dan yang kurang atau salah itu adalah milik saya hambanya kurang ilmunya.
No comments:
Post a Comment